Penyumbang ekonomi

Nuraizah Shamsul Baharin (kiri) beramah mesra dengan ahli WENA yang membuka gerai pada majlis Menyambut Ahli Baru WENA di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MERUJUK kepada satu laporan khas berkenaan wanita dan perniagaan pada tahun 2009 iaitu The Female Economy oleh Micheal J. Silverstien dan Kate Sayre, golongan wanita memiliki peluang pasaran terbesar di dunia dan sedang memandu ekonomi dunia.

Berdasarkan laman web Walmartstores pula, wanita mengawal kira-kira AS$20 trillion (RM62 trillion) dalam perbelanjaan tahunan pengguna global dan dijangka mencapai AS$28 trillion (RM86.9 trillion) pada tahun 2014.

Salah satu daripada peruncit terbesar di Amerika Syarikat (AS), Walmart, pula menjamin sebanyak AS$20 billion (RM62 billion) sumber daripada perniagaan milik wanita akan dipasarkan oleh mereka.

Itulah matlamat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (WENA) untuk menjadikan perniagaan di Malaysia memberikan sokongan yang sama khususnya kepada usahawan wanita.

Pengerusinya, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, WENA percaya dalam pembinaan rangkaian perniagaan dan menyeru para usahawan wanita bumiputera yang berpengalaman dan baru untuk berkumpul bagi membina sebuah perniagaan yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Dengan idea WENA itu, usahawan wanita yang bergerak secara berkumpulan mampu meningkatkan kredibiliti dan kualiti sesebuah perniagaan kerana idea dan tenaga yang disumbangkan boleh mencapai keputusan atau keuntungan yang terbaik.

“Justeru, WENA melancarkan Program Kumpulan Fokus yang memberi tumpuan kepada lima industri iaitu runcit dan perkhidmatan, makanan, pendidikan, ICT dan kesihatan serta kecantikan dan kesihatan.

“Konsep kumpulan fokus adalah untuk menggalakkan wanita dalam industri perniagaan yang sama untuk bersama menangani keperluan dan cabaran industri masing-masing.

” WENA turut berpeluang bekerjasama dengan agensi-agensi korporat, kerajaan dan media untuk meuar-uarkan kejayaan dan pencapaian global ahli-ahli mereka,” katanya ketika merasmikan Hari Menyambut Ahli Baru Wena, di Taman Tun Dr. Ismail, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Nuraizah, di sektor-sektor tertentu seperti industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan wanita sudah mula mendominasi sektor yang diceburi dengan bantuan kewangan dan insentif-insentif yang diperkenalkan agensi-agensi kerajaan.

“Kumpulan usahawan wanita yang menjadi ahli WENA bukan sahaja berpeluang meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat, malah dapat membantu memperkasakan wanita dan membuka mata masyarakat untuk menilai kebolehan wanita daripada sudut yang lebih luas.

“Perancangan WENA adalah untuk mengukuhkan kekuatan ahli wanita menerusi program-program usahawan yang akan dijalankan supaya dapat menjadi suara untuk memberi kesedaran kepada usahawan wanita yang masih mencari tempat yang sesuai untuk menjalankan perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurut Nuraizah, bagi usaha memasarkan perniagaan usahawan wanita, WENA akan membawa masuk pelabur dari luar untuk memilih sendiri produk kumpulan usahawan wanita seterusnya dipadankan dengan permintaan daripada negara yang diwakili pelabur.

Tidak akan timbul masalah produk tidak laku kerana setiap pelabur mempunyai permintaan produk yang berbeza-beza.

“Penyertaan lebih ramai wanita Malaysia dalam bidang usahawan dilihat amat baik dan tidak mendatangkan persaingan antara satu sama lain kerana bidang yang diceburi berlainan.

“Kumpulan fokus yang dibentuk akan melihat cabaran industri dan mengenal pasti pelan tindakan untuk kepentingan bersama. Ini juga akan menjadi pemangkin utama WENA serta platform pengambilan ahli baru yang akan mencapai tahap pengetahuan secukupnya yang diperlukan dalam dunia perniagaan,” katanya.

Nuraizah berkata, ahli WENA juga berpeluang berurusan dengan pihak pengurusan yang terdiri daripada kerajaan dan agensi keusahawanan jika terdapat sebarang pertanyaan berkenaan perniagaan yang diceburi.

“Peluang untuk mengambil bahagian dalam forum-forum perniagaan, seminar, latihan dan bengkel yang dikendalikan oleh usahawan berjaya bertaraf dunia juga dibuka luas untuk semua ahli WENA yang berdaftar,” ujarnya.

Pada masa sama, kumpulan usahawan wanita juga harus bersiap sedia dengan strategi-strategi perniagaan yang lebih kukuh termasuklah mencari peluang perniagaan baru, menghasilkan produk-produk lebih inovatif dan meningkatkan kemahiran bagi menghadapi situasi pergolakan ekonomi.

Katanya lagi, hasrat kerajaan untuk menambahkan lebih ramai penyertaan usahawan wanita menjelang 2012 bukanlah mustahil untuk dicapai.

Pada masa kini WENA sudah ada kira-kira 300 ahli dan dijangka akan meningkat dua kali ganda dalam masa terdekat.

CONTACT US

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Sending

©2018 WENA : Women Entrepreneur Network Association Malaysia. All rights reserved.

Log in with your credentials

Forgot your details?