Nuraizah mahu tulis buku

PELUANG bertemu dengan Pengarah Urusan Madcat World Sdn. Bhd., Nuraizah Shamsul Baharin, 42, sememangnya dinanti-nantikan kerana beliau boleh menjadi sumber inspirasi kepada wanita untuk berjaya dalam kehidupan.

Hanya berpakaian santai, siapa sangka wanita ini pernah menjadi lima calon teratas di dalam kategori perniagaan bagi menggondol Anugerah Bella yang julung-julung kali dianjurkan ntv7.

“Saya sememangnya mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang perniagaan. Namun, sebelum memiliki perniagaan sendiri, saya terlebih dahulu mendapat pengalaman dengan bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang elektronik.

“Saya mempunyai sekumpulan rakan ketika bekerja di kilang itu yang mempunyai azam untuk memiliki perniagaan sendiri apabila kami menginjak usia 30 tahun.

“Alhamdulillah, saya berjaya mencapai sasaran itu pada umur 32 tahun dengan menguruskan perniagaan perisian telefon bimbit pintar dan empat daripada enam orang rakan saya juga sudah berjaya merealisasikan impian mereka,” ujar graduan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat ini.

Tambahnya, melibatkan diri di dalam bidang perisian telefon bimbit pintar sememangnya menjanjikan cabaran apatah lagi produk yang diketengahkan itu pula berunsurkan islamik. Menurut Nuraizah, sebanyak tiga produk utama diperkenalkannya.

Produk itu ialah Beam, Nur Muslim dan Madcat.

“Produk Beam lebih kepada bentuk perniagaan seperti terjemahan laman web untuk mencari kerja,” jelasnya.

Menurut wanita itu, produk Nur Muslim membolehkan surah-surah dan doa-doa harian dimuat turun menerusi telefon pintar.

“Setakat ini, kami merupakan pembekal terbesar di Malaysia dan trend memuat turun aplikasi seperti itu tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja. Malah, jumlah muat turun meningkat pada setiap tahun,” katanya.

Produk islamik

Nuraizah berkata, produk Madcat pula merupakan aplikasi pelancongan yang juga mencatatkan jumlah muat turun yang paling tinggi setakat ini.

“Saya berazam untuk mewujudkan produk yang berguna kepada masyarakat berdasarkan isi kandungannya. Cabang perniagaan ini dipilih kerana ia tiada sempadan, bergerak pantas dan teknologinya sentiasa berubah.

“Justeru, saya perlu memastikan aplikasi yang dibangunkan seiring dengan teknologi pada masa kini.

“Selain itu, para pengguna juga tidak kisah tentang latar belakang syarikat yang mencipta aplikasi itu. Bagi mereka (para penguna), apa yang penting adalah sama ada aplikasi itu bagus atau tidak,” jelasnya.

Dia memberitahu, tempoh masa selama satu hingga dua bulan diperlukan untuk membangunkan setiap aplikasi.

Nuraizah memberitahu, ada kalanya dia mengalami kesukaran untuk memperkenalkan aplikasinya ketika berurusan di peringkat antarabangsa.

“Saya pernah berdepan kesukaran ketika mewakili Malaysia pada Anugerah Utama Mobile 2010 di Barcelona, Sepanyol sehinggakan saya terpaksa menukar nama aplikasi yang diketengahkan ketika itu.

“Jika tidak, mereka (pihak penganjur) tidak mahu menerbitkan sebarang artikel mengenai perisian kami hanya kerana namanya yang berunsur keislaman iaitu Diary Muslim. Justeru, kami menukarnya menjadi My Diary,” kata anak sulung kepada tiga adik-beradik ini.

Wanita itu juga pernah memenangi beberapa anugerah termasuk pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2010, Anugerah Inovasi dan Reka Cipta ke-9 pada tahun 2010. Dia juga pemenang pertandingan Isi Kandungan Telefon Bimbit Interaktif MSC 2007 selain Anugerah Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik pada tahun 2007.

Jelas Nuraizah, dia mula menumpukan terhadap kandungan produk berunsur keislaman pada tahun 2008 selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan.

“Tidak sangka pula permintaan terhadap kandungan produk islamik berterusan sepanjang tahun kerana pada kebiasaannya, produk itu hanya akan laku pada bulan Ramadan sahaja.

“Melihat permintaan yang memberangsangkan itu, ia menjadi penyebab kepada kami mengekalkan kandungan berunsur islamik kerana ia sememangnya boleh diketengahkan,” ujarnya yang juga merupakan Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA).

Ketika ditanya tentang keputusan paling mencabar di dalam kehidupannya, Nuraizah memberitahu, tindakan menubuhkan sebuah syarikat yang hanya mempunyai lapan orang kakitangan ketika itu merupakan cabaran terbesar yang pernah dibuatnya.

“Buat permulaan, agak mencabar juga kerana tanggungjawab yang dipikul sangat besar dan ia bukan untuk diri saya sahaja tetapi saya juga perlu memikirkan periuk nasi orang lain.

“Namun, saya percaya rezeki itu datang daripada Allah SWT dan kita perlu berusaha untuk mencapainya,” tambah wanita tersebut yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun di dalam bidang perniagaan.

Nuraizah berkata, dia sangat gembira dengan pencapaiannya sekarang kerana kini dia sudah menjalani kehidupan yang seimbang selain dapat menabur bakti kepada masyarakat melalui penglibatannya di dalam WENA.

“Saya berkongsi pengalaman di dalam bidang perniagaan dengan menabur bakti melalui WENA yang memfokuskan kepada lima jenis cabang perniagaan iaitu perkhidmatan, pendidikan, teknologi maklumat, makanan, minuman, kecantikan dan kesihatan.

“Setakat ini, kami sudah mempunyai 300 orang ahli di sekitar Lembah Klang dan setiap dua minggu sekali, kami menganjurkan sesi ceramah bagi membantu usahawan-usahawan wanita,” ceritanya sambil memberitahu syarikatnya sudah mencapai status Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC).

Tulis buku

Mengulas lanjut, Nuraizah memberitahu, pada permulaan menubuhkan syarikatnya itu, dia amat kuat bekerja sehinggakan susah untuk meninggalkan pejabat dan tidak pernah bercuti.

“Namun, selepas melihat satu kemalangan maut di depan mata, ia memberikan persepsi yang berbeza kepada saya kerana sejurus selepas itu, saya terus pergi bercuti untuk merehatkan minda.

“Saya juga tidak gemar menonton televisyen atau melayari internet ketika waktu cuti atau masa lapang. Malah, di rumah juga, saya tidak mempunyai talian internet.

“Sebaliknya, saya akan meluangkan masa untuk membaca buku motivasi dan perniagaan yang lebih merangsang minda. Ekoran itu, saya tidak mahu membawa kerja ke rumah,” ujarnya yang pernah bekerja selama 20 jam sehari untuk berada pada kedudukan sekarang.

Jelasnya, dia menjadikan aktiviti membeli-belah dan mengunjungi gimnasium sebagai salah satu usaha untuk melepaskan tekanan selepas penat bekerja.

Mengenai cita-cita yang masih belum dicapai, Nuraizah berkata, dia sememangnya menyimpan impian untuk menulis sebuah buku berkaitan perniagaan.

“Saya sudah mula mencari bahan untuk buku yang bakal diterbitkan itu sejak tahun 2012. Tapi, disebabkan sibuk menguruskan perniagaan, tergendalalah juga perancangan untuk menerbitkan buku itu.

“Namun, saya tetap akan cuba menyiapkan buku tersebut untuk diterbitkan pada penghujung tahun ini bagi memberi inspirasi kepada wanita,” tambahnya sambil memberitahu ibunya, Rohani Abdul Rahman, 63, merupakan individu yang banyak mempengaruhinya dalam membuat keputusan.

 

CONTACT US

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Sending

©2024 WENA : Women Entrepreneur Network Association Malaysia. All rights reserved.

Log in with your credentials

Forgot your details?