Merupakan Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita (WENA), beliau juga mewakili Malaysia dalam Rangkaian Usahawan Wanita Asean (Awen), serta bertindak sebagai salah seorang penasihat kepada Persatuan Usahawan ICT Bumiputera (NEF) dan Timbalan Setiausaha Kluster Ekonomi untuk Majlis Perundingan Melayu (MPM).

1.Apa yang membuatkan anda memilih untuk menceburi bidang keusahawanan berbanding kerjaya profesional lain?

Pada mulanya saya bekerja di bawah orang tetapi saya dapati tidak puas untuk mengeluarkan idea-idea kepada syarikat membuatkan saya mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dengan mengasaskan perniagaan sendiri.

Ketika itu saya hanya memikirkan untuk membuat perkara yang saya ketahui sahaja dan kebetulan pula saya mendapat peluang untuk membina perisian dan rangkaian komputer berjenama tempatan memandangkan latar belakang saya adalah dalam bidang kejuruteraan.

Saya mengambil peluang tersebut sebagai cabaran dan berusaha memperkukuhkan perniagaan saya dengan pengalaman terdahulu bekerja di syarikat lama.

Hasilnya, jenama NatsysTM terbina dan diiktiraf sebagai Pengeluar Peralatan Asli Tempatan (LOEM) di syarikat Microsoft yang mempunyai 400,000 pengguna di Malaysia serta berjaya menembusi sehingga ke pasaran Asean.

2. Mengapa anda memilih untuk terlibat dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang membangunkan potensi usahawan wanita?

Ketika mula-mula membina syarikat sendiri iaitu, Nadi Ayu Technologies Sdn. Bhd. saya menyertai pelbagai NGO keusahawanan bertujuan untuk membina rangkaian perniagaan selain mempelajari ilmu niaga daripada orang yang lebih berpengalaman. Saya masih muda ketika itu dan bukanlah daripada latar belakang jurusan perniagaan, jadi saya perlu mencari orang untuk membantu saya melengkapkan diri dengan ilmu melalui tunjuk ajar mentor.

Saya melihat pentingnya usahawan untuk berguru bagi membolehkan mereka bertahan di dalam industri di samping mencari peluang-peluang perniagaan lain dengan cara membina rangkaian perniagaan melalui acara berpersatuan.

Bernaung dalam tempoh yang lama di bawah NGO membuatkan saya turut sama terpanggil untuk membantu ahli-ahli lain dan sudah tiba masanya saya pula membantu mereka mengenal potensi perniagaan mereka untuk lebih ke hadapan dan tidak berada di takuk yang sama untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat global.

3.Apakah penglibatan terkini anda?

Meskipun saya aktif berpersatuan, perniagaan saya masih lagi diteruskan malah semakin berkembang. Pada asalnya perniagaan saya hanya fokus kepada pengeluaran perkakasan komputer sahaja namun kini syarikat saya mampu membangunkan perisian sendiri, mengedarkan perisian dan turut membimbing pereka-pereka muda dalam bidang teknologi maklumat.

Apabila saya sendiri bergelar mentor di beberapa NGO, saya perlu memastikan perniagaan saya berkembang selaras dengan objektif utama persatuan iaitu mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Dalam NGO pula, saya terus membantu usahawan terutamanya usahawan wanita dan belia melalui program-program pembangunan untuk keusahawanan serta turut melaksanakan program keusahawanan dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Belia Sukan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta beberapa kementerian yang lain kerana semakin lama keperluan terhadap pembangunan keusahawanan semakin mencabar jadi saya perlu mengembangkan jaringan daripada pasaran domestik kepada global.

Terbaharu saya terlibat dalam program inisiatif daripada Kementerian Kewangan melalui Pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional (NEDO) iaitu program bimbingan usahawan, BAHTERA 2016 (Edisi Utara).

4.Ceritakan lebih lanjut tentang peranan anda dalam program BAHTERA 2016 (Edisi Utara).

Saya adalah kurator utama program BAHTERA 2016 (Edisi Utara) yang menjadi pentas bagi melahirkan usahawan bumiputera yang baharu dan turut mengetengahkan cara dan model baharu perniagaan yang mampu bersaing pada peringkat global.

Ini adalah tahun kedua BAHTERA dianjurkan dan apa yang menjadikan program ini unik adalah kerana kami mengguna pakai konsep ‘usahawan kepada usahawan’ di mana kerajaan melihat perlunya penglibatan usahawan sendiri menentukan apa yang diperlukan oleh mereka untuk menjana ekonomi negara.

Tahun lalu, BAHTERA yang diadakan di ibu kota mendapat penglibatan lebih daripada 13,000 orang usahawan pelbagai bidang jadi untuk tahun ini pula kami mahu peluang dan manfaat yang sama diberi kepada usahawan di luar kawasan Kuala Lumpur.

Program kali kedua yang akan berlangsung di Sungai Petani, Kedah pada 8 dan 9 Oktober ini dijangka membuka ruang untuk melonjakkan potensi usahawan, sekali gus menjadi pemangkin ke arah melahirkan usahawan yang dapat membina perniagaan berskala tinggi.

Sebagai kurator, saya akan membawa konsep yang kita yakin bahawa ianya berguna kepada usahawan. Di sana kami akan melihat siapa usahawan sedia ada, bakal usahawan, apa yang usahawan perlukan, apa yang mereka mahu bangunkan di zon Utara ini dan bagaimana kita mahu membantu mengembangkan perniagaan mereka.

5.Bagaimana anda melihat potensi usahawan wanita untuk memasarkan produk mereka ke pasaran luar? Sejauh mana pencapaian mereka buat masa ini.

Sehingga hari ini negara kita mempunyai usahawan-usahawan wanita yang berjaya di peringkat global namun masih ramai usahawan wanita yang ‘boleh berjaya’ kerana sekarang kita lihat adanya trend berniaga secara dalam talian cuma mereka tidak sedar adanya potensi untuk ke pasaran global.

Mereka hanya mempunyai strategi-strategi pemasaran untuk pasaran yang kecil sahaja yang bersifat domestik kerana mereka tidak nampak pasaran yang lebih besar sedangkan mereka sendiri telah berada di platform untuk pasaran yang lebih besar.

Saya juga melihat kebanyakan usahawan wanita berniaga atas dasar prinsip ‘cukuplah’ padahal mereka mempunyai potensi yang lebih banyak, jadi kalau kita dapat gilap minda mereka supaya percaya dengan kebolehan sendiri dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengembangkan perniagaan mereka.