Sudah pasti golongan wanita menjadi antara golongan yang menanti-nantikan pengumuman bajet berkenaan, memandangkan golongan ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, malah tunjang belakang institusi kekeluargaan.

Jika Bajet 2016 menumpukan pemantapan ekonomi wanita serta golongan orang kurang upaya (OKU), Bajet 2017 pula dilihat masih memfokuskan golongan yang sama, namun memberi lebih penekanan kepada keperluan golongan wanita berkeluarga.

Secara keseluruhan, Bajet 2017 dilihat bukan sahaja memperkasa kumpulan sasar seperti wanita, kanak-kanak dan OKU, malah memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang membantu emosi wanita secara tidak langsung misalnya pelepasan cukai.

Ini kerana buat pertama kali, Bajet 2017 mengumumkan pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan ibu yang akan diberikan setiap dua tahun sekali bermula tahun taksiran 2017.

Sudah pasti golongan ibu merupakan individu yang paling gembira mendengar perkhabaran itu memandangkan kos memberi peralatan penyusuan bukanlah murah dan pelepasan berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan beban.

Aspek kesihatan juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM30 juta diperuntuk kepada wanita bagi menjalani pemeriksaan mamogram dan suntikan imunisasi suntikan pelalian virus papilloma manusia (HPV) secara percuma untuk mencegah kanser serviks.

Tidak terhenti di situ, kerajaan terus memfokuskan program pemerkasaan wanita apabila memperuntuk sebanyak RM2 bilion bagi meneruskan program bawah Jabatan Pembangunan Wanita antaranya Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), IkeuNita dan Women Career Comeback bagi memberi peluang lebih banyak kepada wanita untuk kembali ke pasaran kerja selain memberi latihan kemahiran kepada suri rumah.

Malah, turut merangkumi sokongan terhadap Talent Corp bagi meneruskan program Woman Career Comeback sebagai satu cara mengembalikan golongan wanita dalam sektor pekerjaan berdasarkan kelayakan profesional yang dimiliki.

Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita (WENA), Nadira Mohd. Yusoff berkata, Bajet 2017 secara spesifiknya mesra wanita ini, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan terhadap beban ekonomi wanita dan keluarga tetapi juga mengiktiraf peranan wanita sebagai pemacu ekonomi negara.

“Peruntukan bagi menggalakkan wanita kembali ke alam pekerjaan dan memulakan perniagaan amat tinggi.

“Ini bukan sahaja melalui peruntukan spesifik Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasio­nal dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bahkan bajet yang berteraskan Internet dan digital di mana ramai wanita yang menceburinya dalam era Internet sebagai platform rangkaian perniagaan.

“Dengan peruntukan yang disediakan, nampaknya peluang semakin bertambah untuk wanita memanfaatkannya, sekali gus membawa produk mereka ke pasaran global seperti yang digalakkan menerusi bajet ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wirawati Perkasa Malaysia (Wirawati), Marini Nasution menyambut baik usaha-usaha yang dilakukan kerajaan dalam penambaikan terhadap golongan wanita dalam Bajet 2017.

Dia menganggap peruntukan bajet kali ini adalah positif dengan menyentuh keperluan semua pihak termasuk penjawat awam dan orang ramai.

Bagi golongan wanita jelasnya, program I-KIT satu usaha untuk membantu golongan wanita khususnya ibu tunggal begitu juga Women Career Comeback menjurus ke arah wanita yang mahu meningkat sosioekonomi mereka.

“Termasuk membantu untuk menjana kehidupan menerusi bidang keusahawanan terutama bagi wanita-wanita Melayu.

“Sehubungan itu, Wirawati ingin memberi cadangan agar peruntukan yang diberikan khususnya kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diagihkan kepada pihak-pihak pelaksana sebagai contoh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menyempurnakannya kepada pihak sasaran.

“Sudah tentu pemilihan NGO itu mencakupi yang aktif dan berdaya tumpu untuk menyampaikan kepada pihak sasaran. Di samping itu saya juga ingin meminta agar lebih ramai wanita muda khususnya merebut peluang yang diberikan kerajaan dalam apa sahaja bidang keusahawanan,” tegasnya.

Biarpun Bajet 2017 telah merangkumi keperluan wanita, namun masih terdapat peruntukan yang tidak merangkumi perkara-perkara penting, misalnya soal bantuan khusus untuk golongan ibu tunggal yang berpendapatan kurang RM1,500 selain tiada peruntukan subsidi pembelian rumah untuk golongan berkenaan yang lazimnya berdepan dengan masalah ekonomi.

Bagi Penyelaras Jaringan Rakan Ibu Tunggal Parti Sosialis Malaysia, Veronica Anne Retnam berkata, masih banyak keperluan wanita khususnya golongan ibu tunggal yang tidak menerima peruntukan khusus pada Bajet 2017.

“Mengikut Bajet 2017, bantuan kanak-kanak tertinggi adalah RM450 sebulan dan bantuan berkenaan tidak ada pertambahan sedangkan bantuan am ada peningkatan dan itu kami sangat mengalu-alukan cuma kelayakan yang diberikan perlu lebih jelas.

“Pelepasan cukai RM1,000 untuk yuran Taman Asuhan Kanak-Kanak dan tadika adalah satu yang baik dan faedah yang sama harus dihulurkan kepada keluarga B40 melalui skim subsidi yuran Taska dan Tadika.

“Mengikut angka Jabatan Statistik 2010, menyatakan wujud 830,000 ibu tunggal, jika diandaikan 20 peratus dari golongan ini berpendapatan kurang dari RM1,500, maka bantuan dimestikan untuk 166,000 orang ibu tunggal dan anak mereka,” katanya.

  • Peruntukan untuk golongan B40 merangkumi pembinaan dan pembiayaan rumah dan tanah

Antara inti pati Bajet 2017 untuk wanita

  • Pemberian Bantuan Am sehingga RM300 sebulan
  • Bantuan Kanak-kanak RM450 sebulan
  • Bantuan warga emas sebanyak RM300 
sebulan
  • RM30 juta diperuntuk untuk kaum wanita menjalani pemeriksaan mamogram dan suntikan imunisasi HPV secara percuma untuk mencegah kanser serviks.
  • RM2 bilion diperuntuk untuk program pemerkasaan wanita bawah Jabatan 
Pembangunan 
Wanita
  • Pelepasan cukai 
RM1,000 pembayar cukai individu yang menghantar anak berumur enam tahun ke bawah ke taman asuhan dan prasekolah yang berdaftar
  • Penubuhan lapan buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE)
  • Pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada 
kira-kira 387,122 OKU berdaftar dengan JKM